Thursday, 19 January 2012

Tip Agar Ibu Menyokong Keputusan Kamu

Tip Agar Ibu Menyokong Keputusan Kamu
Konflik boleh dikatakan perkara yang sering berlaku di dalam sesebuah perhubungan. Bahkan ada di antara kamu berkcil hati sehingga menimbulkan konflik yang berpanjangan. Timbulnya konflik bila mana salah seorang daripada kamu tidak mahu beralah dan masih mahu menegakkan benang yang basah.
Permasalahan ini akan berterusan jika masing-masing tidak mahu bertolak ansur dan  akhirnya kamu sendiri hilang punca dan cara untuk mengatasinya. Apakah yang perlu kamu lakukan saat ibu kamu tidak memberi sokongan terhadap kerjaya mahupun pelajaran kamu? Ayuh ikuti tip ini untuk memudahkan kamu mengatasinya. 

Tanya terlebih dahulu
Permasalahan tidak akan selesai jika kamu dan ibu masing-masing tidak mahu beralah. Mungkin  kamu sedikit berkecil hati dengan cara ibu kamu yang tidak pernah menyokong terutamanya dari segi kerjaya ataupun menyambung pelajaran. Sebaiknya kamu bertanya terlebih dahulu kenapa ibu kamu bertindak sedemikian. Mungkin ibu kamu mempunyai alasan tersendiri sehingga menyebabkan dia tidak menyokong kamu untuk setiap perkara yang kamu lakukan. Kamu tidak boleh terus menyalahkan ibu kamu ke atas tindakan yang dilakukan itu. 


Berbincang
Mungkin kamu merasakan cara ini agak sukar untuk kamu, bukan? Sebenarnya  cara ini paling mudah untuk kamu nyatakan di sebalik ketidakpuasan hati kamu itu. Berbincang itu perlulah dengan cara yang berhemah. Jangan kamu berkasar jika ibu kamu memarahi atau menolak cadangan dan pendapat kamu itu. Seboleh- olehnya kamu bercakap dengan lembut dan beritahu kepada ibu kamu kenapa kamu memilih kerjaya itu atau sebaliknya. Dengan cara ini, ibu kamu akan lebih memahami dan mungkin akan mempertimbangkannya.

Memujuk
Tahukah kamu, ibu kamu akan lebih mudah berlembut hati jika kamu sendiri pandai untuk  memujuknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak dan sanggup melihat anaknya bersedih. Kamu perlu tahu, seorang ibu akan  kalah dengan pujuk rayu anaknya jika kena pada tempatnya. Jangan pula kamu memujuk ibu kamu untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya, sudah tentulah ibu kamu menentang habis-habisan. Kamu gunakan taktik ini untuk meraih simpati daripadanya. Lama-kelamaan ibu kamu akan berlembut hati juga dan membenarkan kamu meneruskan kerjaya atau pelajaran kamu.


Luahan Hati
Adoi! Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kamu pula yang menjadi  serba salah untuk memberitahu apa yang kamu rasakan. Meskipun ibu kamu boleh menerima setiap apa yang kamu perkatakan, namun dalamannya belum tentu boleh terima. Oleh itu cara terbaik, kamu gunakan pendekatan dengan bercerita dengannya secara santai. Cara ini lebih mudah untuk kamu menyatakan gelodak hati kamu itu. Walaupun kamu khuatir cara kamu ini akan mengundang kesedihan di hatinya, namun kamu juga perlu meluahkan isi hati kamu supaya ibu kamu tahu apa yang kamu rasakan. 

0 comments:

Post a Comment

Tq kepada yang sudi komen :)
Nnati saya balas kunjungan anda ok :)