Kekal cantik selepas bercuti
Setiap kali membicarakan mengenai percutian, terus terbayang keindahan pantai, air laut yang biru, ombak yang memukul dan pepohon kelapa yang melambai. Berenang, bermain pasir dan berlarilari di tepian pantai, aktiviti yang sungguh menyeronokkan.
Mendengar bunyi ombak laut membuatkan kita terlupa seketika kesibukan jadual kerja di kota yang tidak pernah habis. Apabila mendapat peluang bercuti, gunakanlah sepenuhnya untuk meredakan stress yang ada kalanya memuncak.
Namun dalam keterujaan bercuti itu, jangan lupa penjagaan kulit agar apabila pulang bertugas nanti kulit anda tetap berseri dan nampak segar. Sudah semestinya setiap kali bercuti di pantai, sinaran matahari yang merbahaya akan memberi kesan kepada kulit terutama di bahagian yang terdedah iaitu muka. Tidak dinafi kan sinaran matahari baik untuk kulit terutama pada waktu pagi antara jam tujuh hingga sembilan.
Waktu sinar matahari hangat itu adalah saat paling baik untuk berjemur. Tidak perlu rasa takut untuk berada di bawah sinarannya kerana ia baik untuk tubuh. Berjemur selama 10 hingga 15 minit tubuh kita menerima vitamin D yang baik untuk tulang. Vitamin D yang tidak aktifakan menjadi aktif dengan aktiviti seperti senaman dan berjalan.
Bagaimanapun sekiranya berlebihan ia memberi kesan yang tidak baik dan paling nyata kulit wajah menjadi lebih gelap. Mengambil masa untuk kembali seperti sedia kala dan paling merisaukan kesan air laut akan membuatkan kulit mengelupas tidak sekata apabila mengenakan solekan. Ikuti panduan di bawah agar kulit tetap terpelihara apabila kembali bertugas setelah beberapa hari bercuti:
1. Kulit wajah lebih bersinar. Jika anda mahu mengadakan aktiviti di kolam mahupun tepi pantai, berhati-hatilah kerana air garam laut atau klorin dalam air kolam renang boleh menyebabkan rambut atau kulit menjadi lebih kering, dehidrasi serta kusam. Sebaiknya sebelum melakukan aktiviti itu, sapukan krim pelindung sinaran.
Dalam masa yang sama, berhati-hati ketika menyapu krim kerana jika krim yang dipilih tidak bersesuaian, ia akan menyebabkan kulit wajah anda mengelupas. Sehubungan itu, selepas mandi di kolam atau laut, sebaiknya anda bilas tubuh dengan air bersihdan keringkan menggunakan tuala yang lembut. Setelah itu sapukan gel wajah yang mengandungi aloe vera serta kenakan pelembap wajah yang mengandungi kuantiti air yang tinggi.
2. Kaki sihat itu seksi. Udara panas boleh menyebabkan kulit kaki anda menjadi bersisik dan kering. Usah bimbang, untuk mengembalikan kelembapan kulit kaki, ambil masker yang digunakan pada wajah dan sapukan pada kaki setiap malam setelah selesai mengadakan aktiviti. Biarkan ia semalaman dan keesokan harinya anda akan dapati kulit kaki lebih halus dan lembut serta kembali segar.
3. Rambut sihat dan bersinar. Jika anda sering mengadakan aktiviti di bawah pancaran matahari, minimumkan penggunaan pengering rambut sebaliknya gunakan tuala untuk mengeringkan rambut. Bagi yang gemar mencuci rambut, gunakan syampu yang ringan dan kaya dengan pelembap supaya anda boleh menggunakannya setiap hari. Agar rambut lurus dan rapi biarpun ditiup angin, sapukan pelembap pada tapak tangan dan sapukan ke rambut atau semburkan sedikit penyembur rambut pada sikat sebelum menyikat rambut.
4. Guna krim pelindung sinaran matahari. Bagi yang kulit berminyak atau liang roma besar, sebaiknya pilih krim pelindung sinaran matahari cecair atau gunakan jenis semburan kerana ia lebih ringan dan tidak memberi kesan pada kulit. Krim pelindung sinaran matahari berbentuk batang, tahan lebih lama kerana ia lebih tahan terhadap air dan peluh. Selain itu pastikan anda menyapu bam bibir yang mengandungi spf 15 bagi melindungi bibir daripada kekeringan. Setelah berjemur terlalu lama kulit yang terbakar akan terasa sedikit perih kerana melepuh. Bagi mengatasinya, sapukan aloe vera ataupun berendam dalam air sejuk yang mengandungi lidah buaya lebih kurang 10 minit, ataupun berendam dalam air hangat yang dicampurkan dengan dua uncang teh lalu biarkan hingga air sejuk.
Selain itu anda juga boleh menyapu anti oksida yang mengandungi the hijau dan putih,vitamin E, shea butter atau minyak lavender. Hasilnya kulit yang kemerahan tadi akan bertukar menjadi normal kembali. Banyakkan minum air putih kerana anda banyak kehilangan air apabila kerap berjemur dan untuk mengatasi kulit yang melepuh,sembur atau rendam bahagian kulit dengan cuka serta ais.
Anda juga boleh mencuba teknik lain seperti menyapu yogurt yang tawar pada kulit, biakan selama lebih kurang 10 minit dan bilas dengan air sejuk. Jika tiada yogurt tawar, gunakan yogurt rendah lemak, susu rendah lemak atau susu biasa.
0 comments:
Post a Comment
Tq kepada yang sudi komen :)
Nnati saya balas kunjungan anda ok :)